Friday, October 03, 2008

Terlalu Awal! Masih Junior!

Apa percaturan politik yang dimainkan oleh Zahid Hamidi? Dalam kita sibuk bergembira di hari raya aidil fitri ini, beliau membuat pengumuman tidak rasmi untuk bertanding jawatan no. 2 UMNO. Jawatan yang ketika ini disandang oleh Datuk Sri Najib Tun Razak.

Sememangnya jawatan tersebut boleh dipertandingkan. Ketika amalan demokrasi seolah-olah dipermainkan oleh kepimpinan tertinggi UMNO, sebarang hasrat untuk bertanding sememangnya di alu-alukan. Lagi ramai bertanding lagi bagus.

Namun C-bOk terkedu apabila dalam membuat pengumuman, Zahid "membelasah" Muhyiddin dengan mengatakan yang beliau "agak keras" apabila menyuarakan pandangannya terhadap kepimpinan parti. Beliau juga mengatakan ahli-ahli parti yang mahukan beliau bertanding untuk jawatan itu.

C-bOk rasa bahawa beliau mungkin tidak sedar apabila beliau "mengata" Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY), beliau juga nampak "agak keras" terhadap seorang yang lebih senior daripada beliau. Bagi kebanyakkan orang, khususnya ahli-ahli UMNO, TSMY adalah satu-satunya pemimpin UMNO yang "ada telor" kerana berani berkata benar walaupun pahit. Orang seperti ini yang kita mahukan menjadi pemimpin. Berani bercakap dan berani mengambil tindakan. Bukannya sekadar "menyokong" untuk menjamin kesinambungan karier politik diri.

Lagi pun, rasanya Zahid Hamidi masih junior dalam hiraki kepimpinan parti dan masih terlalu awal!

HINDRAF Keterlaluan!

Tindakan HINDRAF menyerbu dan membuat "perangai" di majlis terbuka hari raya perdana di PWTC pada hari Rabu yang lalu adalah keterlaluan. Ada banyak lagi forum terbuka untuk mereka menyuarakan rasa tidak puas hati mereka kepada Perdana Menteri dan Kerajaan. Bukannya di majlis hari raya di mana kita sepatutnya memanjatkan kesyukuran terhadap kejayaan kita (umat islam) berpuasa sepanjang bulan Ramadhan. Dengan kata lain, sambutan hari raya adalah merupakan salah satu daripada acara berkaitan dengan keagamaan orang-orang Islam.

Kegagalan HINDRAF untuk memahami konsep hari raya menunjukkan sikap kepimpinan kumpulan haram ini (tidak berdaftar) yang tidak peka dengan struktur sosial negara dan budaya kaum lain. Apa kata mereka sekiranya kita ke majlis Deepavali dan Thaipusan dan membuat onar seperti mereka? Pasti mereka juga tidak suka.

Jelasnya mereka keterlaluan dan kurang ajar.

Sudah sah HINDRAF ini sebuah perkumpulan yang haram kerana tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (R.O.S). Malahan pernah dikaitkan dengan pengganas LTTE. Sampai bila lagi kita hendak memberi muka kepada kumpulan ini?

Monday, September 29, 2008

Salam Aidilfitri

Selamat Hari Raya Aidil Fitri kepada semua rakan-rakan blogger, pembaca, dan pembahas blog ini.

Sunday, September 28, 2008

Penangguhan Perhimpunan Agong UMNO

Sah sudah. Perhimpunan Agong UMNO di tangguhkan sehingga ke bulan Mac 2009. Ini adalah kerana bulan Mac 2009, genap 18 bulan penangguhan dibuat sejajar dengan Perlembagaan parti yang membenarkan penangguhan berkenaan selama 18 bulan. Nasib baik ada klausa ini di dalam Perlembagaan UMNO. Sekiranya tidak, mungkin Perhimpunan Agong UMNO akan diadakan dalam tahun 2020 atas alasan untuk memberikan penumpuan kepada usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju. Ringkasnya, alasan boleh dibuat untuk menghalalkan apa juga keputusan yang memihak kepada mereka yang berkepentingan di dalam UMNO.

Najib berkata bahawa "ada kebijaksanaan" ketika keputusan penangguhan ini dibuat. Tengku Razaliegh pula berpendapat keputusan tersebut adalah "childish". Manakala KJ merasakan cadangan penangguhan ini akan "menyukarkan calon-calon yang bertanding mana-mana jawatan pimilihan berkenaan untuk berkempen - kerana terlampau lama".

Namun pada pandangan C-bOk keputusan penangguhan ini hanyalah melambatkan lagi usaha untuk menyelesaikan masalah di dalam UMNO. Kita sudah melihat penyelesaian menjelang bulan Disember 2008 ini. Kini masalah di dalam UMNO dilanjutkan selama 3 bulan lagi sehingga ke bulan Mac 2009. Maka kita akan melihat politiking yang sama selama 6 bulan lagi.

C-bOk tidak melihat adanya kebijaksanaan di dalam membuat keputusan penangguhan ini. malahan tidak ada keikhlasan di dalam membuat keputusan yang dibuat oleh elit kepimpinan Melayu yang seolah-olah tidak boleh hidup tanpa kuasa dan meletakkan kuasa memimpin sebagai hak mutlak peribadi. Rasanya pandangan Tengku Razaliegh adalah pandangan yang paling tepat di dalam menilai keputusan terbaru MT UMNO ini.

Thursday, September 25, 2008

Ahli Politik Penipu?

Betul ke orang politik selalu menipu?

Pengakuan Ahli Parlimen Seputih, Teresa Kok ini adalah antara bukti bahawa apabila menjadi ahli politik, tidak kira siapa - penipuan adalah perkara biasa. Menurut Datuk A. Kadir Jasin di dalam catatan terbaru beliau, “the only time politicians tell the truth is when they call each other liars”. (Dalam bahasa Melayu, satu-satunya waktu orang politik bercakap benar adalah ketika mereka memanggil satu sama lain pendusta.) Ringkasnya, orang politik sentiasa menipu (?).

Selalunya pula, apabila sesudah menipu dan diasak dengan pertanyaan susulan, akan keluar kenyataan yang bongkak dan sombong.

Berikut adalah laporan akhbar yang diterbitkan oleh Utusan Malaysia berkenaan pengakuan Teresa Kok tentang kenyataan bercanggah beliau. Lihat juga kenyataan beliau di perenggan akhir yang tidak menghiraukan cadangan saman terhadapnya serta mengaitkan pula dengan pengalaman sebagai tahanan ISA. Dari jawapan yang dibuat, kita dapat membaca yang ianya dibuat oleh orang yang angkuh dan sombong.

Teresa Mengaku Buat Kenyataan Bercanggah
Oleh BORHAN ABU SAMAH

KUALA LUMPUR 24 Sept. – Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok akhirnya mengaku membuat kenyataan bercanggah mengenai makanan yang dihidangkan kepadanya semasa ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Pada 19 September lalu beliau mendakwa makanan itu “sama seperti makanan anjing” tetapi pada 22 September menukarnya kepada “baik sedikit daripada makanan anjing”.
“Okey baiklah. Awak mengesan kesilapan saya dengan bantuan rakaman video dan sebagainya, dan saya boleh terima kritikan,” katanya dalam satu forum mengenai ISA anjuran DAP di sini malam tadi.

Komen Exco Kerajaan Selangor itu yang mendakwa Utusan Malaysia memutarbelitkan kenyataannya disiarkan dalam laman blognya hari ini.

Teresa mendakwa “tersilap membuat kenyataan” dengan alasan ketika itu beliau keletihan berikutan jadual yang padat sebaik sahaja dibebaskan daripada tahanan ISA.
Dalam reaksinya berhubung kontroversi ‘makanan anjing’ yang menimbulkan kemarahan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, Teresa mencela Utusan Malaysia dengan menuduh ia menjadi isu besar “kerana diputarbelitkan oleh Utusan Malaysia untuk memburukkan imejnya.”

Para pembaca Utusan Malaysia mengecam usaha Teresa untuk memfitnah akhbar itu memandangkan kenyataan “sama seperti makanan anjing” tersebut turut disiarkan oleh portal Internet Malaysiakini, akhbar Sin Chew Daily dan stesen televisyen TV3.

Dalam blog yang sama, Teresa mendakwa, sama ada beliau mengatakan makanan di lokap ISA “sama seperti makanan anjing” ataupun “sedikit lebih baik daripada makanan anjing”, maksudnya adalah sama iaitu makanan di lokap ISA itu teruk sekali.

Teresa turut menafikan tuduhan bahawa beliau pernah membuat dakwaan tidak benar di Parlimen berhubung isu wanita China dibogelkan di pusat tahanan polis, sedangkan siasatan mendapati wanita itu ialah wanita Melayu.

“Tengoklah mereka, orang UMNO memang macam ini, saya tidak pernah berkata bahawa wanita berbogel dalam VCD itu adalah wanita warga China,” katanya.

Teresa juga berkata, beliau tidak takut jika disaman oleh Utusan Malaysia. “Samanlah, ISA pun saya sudah pernah masuk, takut apa lagi saman daripada Utusan Malaysia?,” katanya.

Tuesday, September 23, 2008

Penasihat

Jawatan "Penasihat" adalah jawatan yang kebiasaanya diberikan kepada mereka yang mempunyai kepakaran dan juga pengalaman yang bersesuaian dengan sesuatu perkara. Antara contoh kewujudan jawatan-jawatan penasihat ini adalah seperti berikut:


  1. Penasihat Ekonomi: Tun Dr. Mahathir pernah melantik beberapa orang menjadi penasihat seperti Tan Sri Zaharudin sebagai penasihat sains (science advisor) dan Tun Daim Zainuddin sebagai penasihat ekonomi (economic advisor);

  2. Setiap Kementerian mempunyai Penasihat undang-undang (legal advisor);

  3. Persatuan Ibu bapa Guru (PIBG) kebiasaannya melantik Guru Besar sekolah sebagai penasihat;

  4. Bank yang mengamalkan sistem perbankan Islam juga mempunyai penasihat syariah yang dilantik dari kalangan pakar agama Islam. Mereka mempunyai kelayakan dan latar belakang agama yang lengkap sebelum dilantik sebagai penasihat agama.

Ringkasnya, lantikan ke jawatan penasihat adalah kebiasaannya dibuat terhadap mereka yang mempunyai kepakaran melalui latar belakang pendidikan dan juga pengalaman. Mereka yang dilantik sebagai penasihat kebiasaannya adalah seorang profesional dan pasti akan menjalankan tugas mereka tanpa sebarang rasa takut atau kaitan rapat dengan idealogi serta pegangan politik mereka. Mereka juga telah terbukti menunjukkan kejayaan di dalam bidang mereka seperti seorang penasihat sains adalah pada dasarnya seorang saintis. Penasihat ekonomi pula kebiasaannya adalah ahli ekonomi yang terlibat secara aktif di dalam aktiviti ekonomi dan kewangan.

Meneliti latar belakang serta kelayakan seseorang sebelum dilantik menjadi penasihat adalah penting untuk menjamin kemampuan penasihat berkenaan memberikan nasihat yang berkesan. Dengan itu, jawatan berkenaan akan terjamin tahap profesionalismanya.

23 September 2008

Hari ini adalah 23 September 2008. Tarikh yang ditetapkan oleh Datuk Sri Anwar Ibrahim (DSAI) kepada Perdana Menteri untuk memanggil satu persidangan khas di Parlimen bagi membincangkan usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri dan seterusnya "membentuk" Kerajaan baru Pakatan Rakyat.

Selepas beberapa tarikh yang ditetapkan oleh DSAI untuk membentuk Kerajaan baru tersasar, adakah hari ini ianya akan menjadi kenyataan? Pastinya tidak, kerana Perdana Menteri telah menolak permintaan Ketua Umum PKR berkenaan untuk mengadakan sidang tergempar Parlimen.

Bagi C-bOk, "rakyat" yang diwakili oleh BN dan PR sebenarnya sudah bosan dengan politik keterlaluan mereka. Sememangnya perkembangan-perkembangan ini menjadi topik yang seronok dibahaskan. C-bOk sendiri seronok membuat ulasan. Namun apabila ianya sudah menjadi umpama kudis buta dalam kehidupan seharian kita, ianya umpama "beban" kepada kita.

Dalam sistem demokrasi berparlimen, pilihanraya adalah tempat di mana rakyat membuat keputusan untuk menentukan siapa yang menjadi pilihan mereka untuk menjadi pemimpin. Jangan perkara ini diketepikan semata-mata politik peribadi. [Ingatan ini adalah untuk semua pemimpin politik baik di barisan pemerintah mahu pun di barisan pembangkang]

Thursday, September 18, 2008

Anwar Dakwa Memiliki Majoriti (Sekali Lagi)

Datuk Sri Anwar Ibrahim (DSAI) di dalam sidang akhbar sebentar tadi sekali lagi mendakwa bahawa beliau telah memiliki sokongan majoriti di Parlimen dan mahukan sidang Parlimen tergempar diadakan segera selewat-lewatnya pada hari Selasa, 23 September 2008. Sidang Parlimen itu adalah untuk membincangkan undi tidak percaya terhadap kepimpinan Y.A.B. Datuk Sri Abdullah Ahmad Badawi.

Walaubagaimanapun DSAI masih belum menamakan Ahli-Ahli Parlimen yang berhasrat untuk menyertai Pakatan Rakyat.

Akramshah Sanusi: Global Economy Going Kaput! Die! Die! Die!

Tangents: Restless Musings Of A Malay Mind: Global Economy Going Kaput! Die! Die! Die!

C-bOk ingin berkongsi pandangan Akramshah Sanusi tentang ekonomi negara dan pilihan yang kita ada. Masalah ekonomi kini adalah masalah global. Namun ianya bukanlah sesuatu yang tidak boleh di atasi.

Kita mempunyai kepakaran dan alternatif untuk mengatasi masalah ini. Tun Dr. Mahathir dan Tun Daim telah membuktikan keupayaan mereka sebelum ini khususnya di penghujung tahun 90-an ketika negara-negara Asia diserang oleh spekulator matawang asing. Masalahnya, kepimpinan sekarang begitu fobia untuk merujuk kepada kepakaran kedua-dua Tun berkenaan. Begitu juga dengan kepimpinan alternatif (Anwar Ibrahim) sekiranya beliau benar-benar mengambil alih Kerajaan. Pak Lah dan Anwar Ibrahim mempunyai keegoan yang tinggi untuk merujuk kepada kedua-dua Tun berkenaan dan ekonomi negara menjadi pertaruhannya.

Harapan kita sebenarnya terletak di tangan akar umbi yang menentukan kepimpinan negara. Masalahnya adakah mereka benar-benar faham "masalah sebenar" kita?

Wednesday, September 17, 2008

Apa Signifikasinya Pertukaran Portfolio?

Pak Lah dan Najib bertukar-tukar portfolio. Najib kini Menteri Kewangan 1 dan Pak Lah Menteri Pertahanan.

Dalam keadaan di mana kita sememangnya menjangkakan akan adanya rombakan kabinet berikutan dengan perletakan jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim, PM membuat keputusan yang tidak dijangkakan ini.

Apa signifikasinya pertukaran portfolio ini?

Bagaimana Pak Lah yang nampak lembik hendak mengetuai sebuah Kementerian yang memerlukan pemikiran taktikal yang tajam, berimej agresif dan sentiasa tepat? [Imej Pak Lah lebih lembut, lembik, sering tidor dan tidak agresif]

Apakah dengan pertukaran portfolio ini, Pak Lah memahami bahawa itu yang sewajarnya beliau lakukan dalam menangani masalah politik yang celaru, ekonomi yang muram dan negara yang sedang dalam "auto pilot".

Berapa lama lagi kita perlu menunggu sebelum satu keputusan yang benar-benar tepat dibuat demi kepentingan negara, agama dan bangsa kita?

Tuesday, September 16, 2008

Kerajaan Baru Satu Realiti?

Dalam sidang media di ibu pejabat PKR sebentar tadi, Datuk Sri Anwar Ibrahim mendakwa telah mendapat majoriti di Parlimen. 32 orang ahli parlimen Kerajaan (yang tidak dinamakan) telah bersetuju untuk menyertai Pakatan Rakyat. Anwar Ibrahim telah meminta untuk berjumpa dengan Perdana Menteri Datuk Sri Abdullah Ahmad Badawi bagi membincangkan proses peralihan kuasa dari BN kepada Pakatan Rakyat.

Sekiranya dakwaan Anwar Ibrahim itu benar, maka kita akan melihat satu Kerajaan baru memerintah negara ini dalam masa yang terdekat ini. C-bOk berharap segala-galanya berjalan dengan lancar tanpa ada sebarang masalah yang boleh memporak perandakan negara kita.

Siapa Yang Betul?

Anwar kata dia telah mempunyai jumlah Ahli Parlimen yang mencukupi untuk menubuhkan Kerajaan. Pak Lah kata itu semua mengarut.

Apa-apa pun hari ini adalah harinya di mana Anwar menjanjikan penubuhan sebuah Kerajaan baru. Bukan dengan cara demokrasi tetapi dengan cara membawa ahli-ahli Parlimen BN melompat menyertai Pakatan Rakyat. Hari ini akan menentukan siapa yang bercakap benar dan siapa yang mengarut. C-bOk berharap apa pun yang berlaku, kita sebagai rakyat kena banyak-banyak bersabar. Jangan timbulkan apa-apa kekacauan. Mereka tu orang politik. Kita rakyat boleh menolak mereka kalau mereka terlebih politik sehingga menggugat kestabilan negara dan ekonomi kita.

Siapa Yang Lebih Penting Kepada UMNO/BN?

Ketika Mantan Presiden UMNO, tun Dr. Mahathir Mohammad meninggalkan UMNO tidak ada sesiapa pun yang nak memujuk beliau supaya pergi bercuti 2 minggu untuk memikirkan keputusan beliau. Fakta sejarah yang tidak boleh dinafikan ialah Tun Dr. Mahathir menerajui UMNO selama 22 tahun dan meletakkan Perdana Menteri di tempatnya sekarang dan juga membentuk dan mendidik sebahagian besar ahli Kabinet sekarang ini. Ketika beliau pergi, bukan sahaja "mereka" bertepuk sorak, malahan di ulas dengan gembiranya oleh beberapa orang pencacai (pembodek) kepimpinan UMNO.

Namun apabila Zaid hendak meninggalkan kabinet, Perdana Menteri mengarahkan beliau pergi bercuti 2 minggu untuk berfikir semula keputusan beliau. Wah..., Zaid nampaknya lebih penting dan lebih bernilai kepada UMNO/BN daripada Tun Dr. Mahathir?

Monday, September 15, 2008

Zaid Letak Jawatan!

Terlajak perahu boleh diundur. Terlajak kata tak boleh undur.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim meletakkan jawatan hari ini. Semalam beliau memaklumkan bahawa beliau akan meletakkan jawatan berhubung dengan tindakan Kerajaan menggunakan Akta I.S.A. terhadap orang awam.

Sunday, September 14, 2008

Ah! Zaid Lagi...

Hanya beberapa hari yang lepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Y.B. Senator Datuk Zaid Ibrahim menghentam Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) kerana menyuarakan pandangan akar umbi tentang kepimpinan Perdana Menteri dan juga jadual peralihan kuasa kepimpinan UMNO. Beliau mencadangkan TSMY meletakkan jawatan kerana tidak bersetuju dengan Perdana Menteri dan Kabinet yang telah membuat persetujuan tentang peralihan kuasa.

Pada pandangan C-bOk, suara Senator Zaid adalah suara sokongan membuat tuli yang tidak berpijak di alam nyata dan menolak realiti politik Melayu yang semakin rapuh. Bagi beliau, Perdana Menteri tidak ada cacat celanya dan wajar disokong 100%.

Namun hari ini, Senator Zaid bersuara lagi. Kali ini beliau menyuarakan rasa tidak puashati beliau terhadap tindakan menggunakan Akta I.S.A. terhadap 3 individu baru-baru ini. Tindakan terbaru beliau ini memeranjatkan kerana Perdana Menteri sudah membuat kenyataan yang menyokong tindakan berkenaan. Kenapa tiba-tiba Zaid menongkah arus dan bertentangan dengan Perdana Menteri di dalam hal ini?

Macam lalang! Kejap sokong. Lepas tu tak sokong. Kalau Zaid tidak bersetuju dengan Perdana Menteri di dalam hal ini eloklah beliau meletakkan jawatan sepertimana cadangan beliau kepada TSMY kerana jelas beliau tidak bersetuju dengan Perdana Menteri.

Saturday, September 13, 2008

Amboi Zaid??

Zaid Ibrahim, "yang dipilih oleh Perdana Menteri" dan dilantik Senator untuk menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri mencadangkan (mendesak?) Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang "dipilih oleh ahli-ahli UMNO" untuk menjadi salah seorang Naib Presiden dan juga "dipilih oleh rakyat" untuk menjadi Ahli Parlimen dalam PRU 12 supaya di pecat daripada kabinet.

Amboi-amboi..., kini seorang pemimpin yang dipilih sudah tidak boleh bersuara mewakili suara-suara akar umbi yang diwakilinya? Pemimpin, khususnya kabinet hanya perlu menyokong sahaja dan tidak boleh menyuarakan pandangan membina yang sepatutnya menyumbang kepada pembinaan kekuatan parti serta mengekalkan kuasa kepimpinan?

Kini seorang yang dilantik boleh menafikan seorang yang dipilih?

Tindakan I.S.A.

Polis telah mengenakan tahan di bawah Akta I.S.A. kepada Raja Putra Kamaludin (Blogger), Teresa Kok (MP dan ADUN) dan Tan Hoong Cheng (wartawan Sin Chew Daily).

C-bOk berpendapat satu tindakan sememangnya perlu diambil ke atas mereka kerana sedikit sebanyak memburukkan keadaan di dalam negara. Tindakan melalui undang-undang boleh menentukan samada mereka bersalah atau tidak. Namun penahanan di bawah Akta I.S.A. mungkin keterlaluan di dalam keadaan negara kita kini agak kucar kacir dan sedikit rapuh di peringkat kepimpinan negara.

Friday, September 12, 2008

Abdullah Terkejut?

Berita ini sudah berlegar-legar di dalam blog sejak semalam. Ramai yang membuat ulasan. Hari ini ianya jadi tajuk utama Utusan Malaysia. Abdullah Terkejut.

Terkejul betul ke terkejut beruk?

Bagi C-bOk beliau tidak sepatutnya terkejut. Segala tanda tentang apa yang di suarakan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin itu telah lama di perkatakan oleh orang ramai termasuk ahli-ahli UMNO. Ianya dibincangkan di dalam blog. Ianya di perkatakan oleh Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohammad secara terbuka dan juga catatan di dalam blog beliau. Setiap catatan beliau dibaca oleh berjuta mata dan didebatkan dengan aktif (kadang-kadang agresif) di alam maya. Ianya juga diperdebatkan di mesyuarat-mesyuarat cawangan UMNO.

Parti pembangkang juga turut sama mengulas tentang isu peralihan kuasa ini yang rata-rata memberikan gambaran bahawa cadangan itu tidak etikal dan juga terlalu lama. Semuanya berminat memberi pandangan kerana negara yang jadi taruhannya.

Sepatutnya Pak Lah tidak terkejut. Melainkan beliau tidak peka dengan apa yang berlaku di sekeliling beliau. Dengan kata lain, beliau tidak mendengar dan membaca apa yang diperkatakan tentang beliau dan juga kedudukan beliau sebagai pemimpin UMNO dan juga Kerajaan.

Pandangan Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah pandangan akar umbi. Pandangan sebahagian besar rakyat negara ini. Sekiranya Pak Lah terkejut maka betullah yang beliau tidak peka. Mungkin pekak.

Thursday, September 11, 2008

Mesyuarat 3 Jam MKT Tidak Membincangkan Kemasukan Tun Mahathir?

Semalam Majlis Tertinggi UMNO bersidang selama lebih 3 jam. Selepas mesyuarat, Presiden Parti membuat kenyataan tentang penggantungan Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail selama 3 tahun. Namun tidak ada kenyataan tentang kemungkinan kemasukan semula Tun Dr. Mahathir ke dalam UMNO.

Adakah ianya tidak dibincangkan? Ianya tidak penting kepada perpaduan Melayu dan kesejahteraan negara ini?

Tuesday, September 09, 2008

Tun Mahathir Kembali Kepada UMNO

Berita terkini yang heboh di dunia blog dan juga SMS sejak beberapa hari yang lalu ialah kembalinya Tun Dr. Mahathir ke dalam UMNO untuk menyokong usaha Tunku Razaliegh Hamzah bertanding jawatan Presiden UMNO bulan Disember ini adalah berita yang begitu menggembirakan banyak pihak. Walaupun beliau belum membuat sebarang pengumuman, kemungkinan itu pasti akan memberi harapan kepada kesinambungan dominasi parti UMNO dalam politik negara.

Tidak ada sesiapa yang boleh menafikan bahawa zaman kepimpinan Tun Dr. Mahathir, UMNO menjadi parti tulang belakang Barisan Nasional yang kuat dan Malaysia menjadi sebuah negara yang disegani di dalam dan luar negara. Tidak ada sesiapa juga yang boleh menafikan ekonomi negara berkembang dengan pesat di bawah kepimpinan Tun Dr. Mahathir. Hubungan antara kaum juga begitu erat di bawah kepimpinan beliau. Semua itu kini seolah-olah telah runtuh dengan rapuhnya hubungan antara kaum dan caca merbanya politik negara. Kita seolah-olah hilang arah....

Sehubungan dengan ini, C-bOk harap perkara ini akan menjadi realiti dalam masa yang terdekat ini. Hanya seorang yang mempunyai kaliber dan kekuatan seperti Tun Dr. Mahathir yang mampu untuk "membetulkan" arah kita yang tersasar.

Monday, September 08, 2008

MB Selangor Tidak Mempunyai Rasa Kemanusiaan?

C-bOk pernah menulis tentang Tan Sri Khalid Ibrahim , Menteri Besar Selangor bulan lepas tentang mulutnya yang selalu mendahului otak di dalam blog ini. Ketika itu beliau membuat kenyataan yang menyakitkan hati berkaitan dengan cadangan untuk membuka UiTM kepada bukan Melayu/Bumiputra sehingga menimbulkan polemik hebat di seluruh negara. Memandangkan UiTM sudah sinonim dengan Melayu/Bumiputra selaras dengan objektif penubuhannya, maka membuka instituusi itu kepada orang lain sememangnya mengundang rasa tidak senang Melayu/Bumiputra.

Ketika isu itu masih lagi belum ada noktahnya (Tan Sri Khalid masih belum menarik kenyataannya dan juga meminta maaf), kita dikejutkan pula dengan satu lagi kenyataan beliau bahawa adalah Membuang Masa beliau untuk melawat rakyat negeri Selangor yang sedang dilanda bencana (turun padang). Sepertimana kita sedia maklum, kira-kira 1,000 orang penduduk di Kampung Sungai Udang dan Kampung Sungai Bertek di Teluk Pulai, Klang serta Kampung Rantau Panjang di Kapar dilanda ribut pada 1 September 2008 yang lalu.

Kenyataan terbaru beliau ini sungguh bertentangan dengan tindakan-tindakan beliau sendiri. Sebagai contohnya, beliau sanggup membatalkan mesyuarat mingguan exco Kerajaan Negeri Selangor semata-mata hendak ke Permatang Pauh (jauh dari Selangor) semata-mata hendak berkempen di sana. Ketika pembatalan ini dibuat, tidak pula timbul soal membuang masa beliau dan Kerajaan Negeri Selangor sedangkan beliau sepatutnya memberi keutamaan kepada kepimpinan negeri Selangor berbanding dengan negeri lain ketika Pilihanraya Kecil Permatang Pauh diadakan.

C-bOk melihat kenyataan terbaru beliau ini sebagai satu lagi tindakan beliau yang tidak berfikir (mendahulukan mulut daripada otak?) atau boleh juga ditafsirkan sebagai satu tindakan yang tidak berperikemanusiaan. Sebagai pemimpin, Tan Sri Khalid perlu sentiasa perlu menunjukkan sikap kemanusiaan kerana itu adalah lebih penting dari menghantar wang ringgit dan harta benda kepada mangsa-mangsa ribut berkenaan. Bagi mangsa, kata-kata perangsang sebenarnya adalah lebih afdal daripada kata-kata yang menghina tanpa rasa kasihan seperti yang disebut oleh Tan Sri Khalid.

Dalam masa yang sama, Tan Sri Khalid menyatakan bahawa sekiranya beliau pergi, maka kos akan bertambah kerana terpaksa membawa 15 - 20 orang pegawai tambahan. Ini lagi satu kenyataan yang menunjukkan Tan Sri Khalid tidak berpijak di bumi nyata selepas menjadi Menteri Besar. Kalau dahulu boleh ke mana-mana seorang diri kenapa sekarang kena ada pengikut (macai) sampai 15 - 20 orang pula? Adakah seorang MB tidak boleh ke mana-mana seorang diri? Kalau perlu pengiring pun, seorang pemandu dan seorang pegawai khas sudah mencukupi. Impaknya kepada orang yang dilanda bala adalah lebih besar.

Bagi C-bOk ini adalah kenyataan yang cuba memberi alasan sahaja. Sepatutnya apabila kita sudah melakukan kesalahan, jalan terbaik ialah mengakui kesalahan kita dan meminta maaf ataupun jangan kita membuat kenyataan lain yang seolah-olah menyalahkan orang lain. Sebaliknya, Tan Sri Khalid seolah-olah tidak boleh meneima teguran dan mengambil keputusan untuk membuat kenyataan seolah-olah tindakan beliau betul. Ini satu tindakan macam budak-budak. Budak-budak, kalau di marah oleh ibu, selalunya ada sahaja alasan yang diberikan walaupun alasan itu hanyalah sekadar alasan. Kadang-kadang alasan bohong.

Sehubungan dengan ini, C-bOk menggesa Menteri Besar Selangor supaya lebih menunjukkan sifat kemanusiaan apabila berurusan dengan rakyat. Janganlah bercakap manis di mulut semasa Pilihanraya sahaja. Sedar sikit peranan dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat dan pemimpin.

Sunday, September 07, 2008

Jangan Sensasikan Isu Sensitif?

Ya. C-bOk bersetuju. Isu sensitif jangan disensasikan. Tetapi kenyataan ini rasanya lambat sangat dibuat oleh pihak berkuasa. Dah tenat baru nak bersuara. Sudah terlewat.

Kita jadi begini sejak akhir-akhir ini. Kita jadi begini apabila ada puak-puak yang berani mempersoalkan segala-galanya telah dipersetujui sesama kita dan telah meletakkan Malaysia aman damai selama 50 tahun.

Kenapa kini tiba-tiba jadi begini? Kerana... sudah ada orang yang berani memadamkan tulisan jawi di papan-papan petunjuk jalan (yang tidak pernah dipersoalkan selama 50 tahun). Tidak ada siapa yang berani menyinsing lengan apabila perkara itu berlaku. Namun apabila Melayu bersuara ianya perkauman dan sensitif?

Friday, September 05, 2008

Retreat BNBBC di Luar Negara

Retreat BNBBC di luar negara yang akan diadakan dari 7 - 19 September 2008 ini mengundang banyak tanda tanya. Rata-rata berpendapat ianya diadakan bagi menggagalkan sebarang usaha untuk menjadikan cadangan Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) menubuhkan Kerajaan pada 16 September 2008 sebagai satu realiti.

Dari segi teorinya, apabila Ahli-Ahli Parlimen berkenaan tiada di dalam negara, maka mereka tidak dapat melompat dan menyertai Pakatan Rakyat. (Bagaimana sekiranya mereka membuat pengumuman bertukar pasti semasa di retreat nanti). Namun penganjur menafikan sebarang kaitan dengan usaha DSAI untuk menubuhkan Kerajaan pada 16 September seperti yang digembar-gemburkan.

Walaubagaimanapun, C-bOk melihat perkembangan ini dari sudut yang lain pula:

  1. Sekiranya kesemua ahli BNBBC meninggalkan negara, siapa pula yang akan memantau dan membantu pentadbiran di negara ini sepanjang ketiadaan mereka?;
  2. Dari segi Perlembagaan apakah yang akan berlaku sekiranya DSAI membuat pengumuman tentang penubuhan Kerajaan pada 16 September dan beliau mendapat sokongan secara remote control dari ahli-ahli BNBBC yang berada di luar negara?;
  3. BNBBC di lihat seolah-olah tidak peka dengan kemungkinan pertukaran Kerajaan pada 16 September 2008 - ketiadaan mereka di dalam negara akan memungkinkan pelbagai perkara akan berlaku;
  4. Berapakah kos dan siapa yang akan menanggung kos retreat BNBBC ini? Sekiranya ditanggung oleh Kerajaan, adakah peruntukan yang telah diluluskan untuk tujuan ini?;
  5. Di mana lokasi retreat berkenaan? Rakyat perlu diberitahu memandangkan mereka yang bakal pergi adalah wakil-wakil mereka dan mungkin ada keperluan untuk berhubung dengan wakil-wakil rakyat mereka;
  6. Apakah kebaikan dan kewajaran retreat ini diadakan di luar negara? Kenapa kita hendak memakmurkan negara luar sedangkan hotel-hotel di negara kita menghadapi masalah berikutan dengan pembatalan sebarang majlis rasmi Kerajaan (sudah ditarik balik baru-baru ini) daripada diadakan di hotel-hotel?

Bagi C-bOk, alasan untuk mengadakan retreat ini kurang bernas dan tidak kena pada masanya melainkan, alasan itu adalah strategi untuk menggagalkan usaha DSAI menubuhkan Kerajaan pada 16 September 2008 (yang telah dinafikan oleh penganjur).

BNBBC sepatutnya tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan yang banyak untuk retreat ke luar negara pada masa kita menghadapi banyak masalah di dalam negara dan sepatutnya menggunakan masa yang ada ini untuk mengkaji, mendalami dan membuat persediaan untuk perbahasan bajet (belanjawan) yang akan diadakan sebaik sahaja Parlimen kembali bersidang tidak berapa lama lagi. Bukannya melancong ke luar negara.

Gempak Aja Lebih

Kalau kita baca akhbar Berita Harian dan Utusan Malaysia hari ini pasti kita tidak akan terlepas pandang tajuk berita tentang penurunan harga minyak .

Tajuk Berita Harian: Petrol turun 15 sen lagi
Tajuk Utusan Malaysia: Turun Lagi 15 sen - PM

Tapi sebenarnya gempak saja. Bukan nak turun pun. Kenyataan ini semua orang boleh buat. C-bOk pun boleh buat. Tapi siapa lah C-bOk nak keluar suratkhabar? Memanglah Perdana Menteri boleh buat kenyataan seperti ini tetapi bagi akhbar menjadikan berita ini sebagai tajuk utama dengan gaya yang agak mengelirukan menunjukkan sikap editornya yang cuba untuk memperdayakan pembaca. Memberikan gambaran yang salah dan cuba untuk memutar belitkan keadaan. Inilah yang dinamakan "spin".

Melayu Semakin Celaru

Apabila C-bOk membaca pantun berikut yang dinukilankan oleh Mufti Perlis, C-bOk rasa kita semakin celaru. Perpaduan Melayu kini semain rapuh. Kita terlalu taksub dengan politik. Lebih-lebih lagi apabila membaca catatan Tun Dr. Mahathir yang terbaru.

Proton MPV (Another Version)

Sekarang di internet kita boleh melihat apa sahaja. Beberapa hari lepas C-bOk mendapat gambar kononnya kereta Proton MPV yang sedang dalam perancangan. Semalam, rakan sepejabat menghantar gambar ini pula. C-bOk hanya menerbitkan gambar ini untuk sama-sama berkongsi "excitement" dengan rakan-rakan blogger. Pastinya ramai yang tertunggu-tunggu kelahiran kereta terbaru Proton ini.

Versi Proton MPV sebenarnya hanya Proton yang tahu. (C-bOk tidak bertanggungjawab terhadap sebarang variasi terhadap rekabentuk kereta ini)






Tuesday, September 02, 2008

Proton MPV?

C-bOk got this from Paul Tan Automovite News website. Quite interesting. Can't wait to see the actual car.




Monday, September 01, 2008

Menyambut Ramadan 1429H

Salam to All. C-bOk ingin mengucapkan Selamat Menyambut Bulan Ramadhan dan selamat berpuasa kepada semua pembaca blog ini. Seorang sahabat menghantar sms berikut yang ingin C-bOk kongsi bersama dengan anda semua:

"Sempena Ramadhan yang akan menjelang tidak lama lagi, sentiasalah setting niat, upgrade iman, download sabar, upload usaha, delete dosa, update doa dan top-up ilmu agar boleh redeem pahala."

Saturday, August 30, 2008

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan Negara ke - 51

Selamat menyambut hari kemerdekaan negara yang ke - 51.

Merdeka!

Merdeka!

Merdeka!

Belanjawan 2009 - Ulasan Ringkas

C-bOk berpendapat Belanjawan 2009 (Sebol - gua guna belanjawan sekarang ni) sememangnya memberikan kelebihan kepada rakyat. Kalau tidak kerana kita baru sahaja mengadakan Pilihanraya (PRU 12) pada 8 Mac 2008 yang lalu, pasti kita merasakan satu pilihanraya akan diadakan tidak berapa lama lagi.

Ringkasnya, belanjawan 2009 ini memberikan banyak keistimewaan dan juga kelebihan kepada rakyat untuk meningkatkan aliran tunai masing-masing. Boleh dikatakan semuanya turun kecuali cukai rokok sahaja yang naik. Antaranya kadar cukai individu maksimum diturunkan kepada 27% berbanding 28% sebelum ini. Kadar cukai kereta berenjin diesel juga diturunkan dan diseragamkan dengan kereta berenjin petrol (C-bOk guna kereta berenjin diesel). Duti import barangan pengguna diturunkan. Bayaran balik pinjaman rumah dipanjangkan ke 30 tahun berbanding 25 tahun sebelum ini.

Selain daripada itu, pengguna elektrik yang bilnya kurang RM20 sebulan tidak perlu membayar lagi (elektrik percuma...., macam Selangor beri air percuma 20 liter..., tiru ke ni...?) Dan lain-lain lagi.

Namun dalam masa yang sama, C-bOk juga melihat ada merit di atas komen yang dibangkitkan oleh beberapa orang penganalisa termasuk ahli parlimen pembangkang yang tidak melihat satu cadangan kongkrit Kerajaan di dalam Belanjawan 2009 untuk menggalakkan pelaburan asing (FDI) ke dalam negara. Tanpa satu rancangan yang lengkap dan terancang, kita mungkin akan menghadapi masalah untuk membawa masuk FDI, lebih-lebih lagi negara jiran kita semakin agresif memberikan pelbagai insentif kepada pelabur-pelabur luar.

Walaubagaimanapun, C-bOk berharap rakyat mengambil kesempatan daripada strategi-strategi yang dicadangkan di dalam belanjawan 2009 ini untuk meningkatkan simpanan dan bukannya membelanjakan kesemua lebihan tunai yang ada hasil daripada penjimatan yang dicadangkan.

Friday, August 29, 2008

Bajet 2009

Bajet 2009 dibentangkan hari ini. Ringkasan pembentangan bajet oleh Perdana Menteri adalah seperti di Link berikut (The Star).

Wednesday, August 27, 2008

Tahniah Anwar Ibrahim

Tahniah di ucapkan kepada Anwar Ibrahim di atas kejayaan beliau di Permatang pauh di sebalik tentangan hebat Barisan Nasional yang menghantar keseluruhan kepimpinan parti (termasuk dari Sabah) dan juga menggunakan kemudahan jentera Kerajaan.

Kemenangan ini membawa maksud yang sungguh jelas. Kemenangan itu adalah kerana kebencian yang begitu ketara terhadap seseorang. Cuma..... masihkah kita hendak menafikannya?

Tuesday, August 19, 2008

Ramalan Terkini

Walaupun Pak Lah kata, harga baru minyak akan diumumkan pada 1 September 2008, harga jualan runcit minyak dijangka akan turun sebelum pilihanraya kecil Permatang Pauh pada 26 Ogos 2008 ini.

Walaubagaimanapun, perkembangan ini akan dinafikan ada kaitan dengan pilihanraya kecil berkenaan dan juga cadangan calun PKR untuk menurunkan harga minyak selepas mengambil alih Kerajaan pada 16 September 2008. Apa-apa pun ini perkembangan yang baik untuk rakyat negara ini. Lagi lama mereka bertelagah lagi bagus. Apabila minyak dipolitikkan rakyat yang mendapat manfaatnya.

Ada siapa-siapa nak bet dengan saya?

Semakin Keliru dan Celaru

Sebenarnya "tindakan itu" bukannya semakin memudahkan.

Kita sebenarnya semakin keliru dan celaru. Ulama-ulama besar pun boleh bertelagah. Ada yang kata ok. Ada yang kata tak ok. Ada yang kata ikut peraturan. Ada yang kata tidak ikut peraturan. Ada yang kata tak perlu pegang Al-Quran. Ada yang kata tak perlu dalam masjid dan sebagainya. Jadi mana satu yang betul?

Yang buat kenyataan itu semuanya bertaraf ulama dan mufti. Ada yang menjadi ulama Kerajaan (dilantik) dan ada yang menjadi ulama politik.

Selepas itu di tambah pula oleh orang-orang politik. Ada orang politik kanan dan ada orang politik kiri. Mereka ini pun sama juga. Ada yang kata ok. Ada yang kata tak ok.

Kalau ulama, mufti dan pemimpin politik sendiri pun berbalah tentang boleh atau tidak bersumpah, cara yang betul untuk bersumpah dan sebagainya lagi, bayangkan bagaimana rakyat hendak memberi reaksi? Rakyat sebenarnya semakin keliru. Nak dengar cakap siapa? Nak dengar cakap budak hingusan itu atau nak dengar cakap ulama/mufti? Masalahnya ulama/mufti pun tidak sepakat dan berbalah?!?

Kepada pemimpin (ulama, mufti, pegawai Kerajaan dan ahli politik), ingatlah dunia ini bukan selama-lamanya. Masih ada akhirat untuk semua. Dan bersepakatlah dalam hal-hal yang memberi kesan kepada semua. Janganlah menimbul kekeliruan dan kecelaruan di dalam hal-hal yang berkaitan dengan agama.

Soalnya sekarang cakap ulama yang mana yang hendak ikut?

Sunday, August 17, 2008

HTC Shift Baru Untuk Di Jual

HTC Shift X9500 untuk dijual. Harga di pasaran RM5K ++. Sesiapa yang berminat boleh cuba membeli dengan harga yang murah di laman web lelong.com di sini.

Harga lelong bermula pada RM2,500 sahaja. Anda boleh membuat tawaran dengan gandaan RM10 sahaja sekali bid. Tawaran lelong ini akan ditutup pada 21 Ogos 2008. Kepada sesiapa yang memberi tawaran terbaik akan memiliki komputer mini canggih ini.

Komputer mini ini masih baru. Lengkap dengan semua aksesori dan kotaknya.

Friday, August 15, 2008

Lee Chong Wei ke Final (Olimpik 2008 - Beijing)

Satu pingat sudah dalam genggaman.

Cuma kita tidak tahu emas ke perak? yang pastinya ini adalah berita paling gembira hari ini dan mungkin juga tahun ini. Lee Chong Wei menempah tempat ke final perseorangan badminton di Olimpik 2008, Beijing, China selepas mengalahkan Lee Hyun II dari Korea.

Marilah kita sama-sama memberikan sokongan semangat kepada Lee Chong Wei di dalam perlawanan akhir nanti. Kalau kita sanggup bersengkang mata melihat perlawanan siaran langsung Euro 2008 tempoh hari, pasti lebih berbaloi kita menyokong Lee Chong Wei di dalam perlawanan akhir itu.

Tahniah Lee Chong Wei.

Apabila Mulut Lebih Dahulu Daripada Otak

Apabila mulut kita mendahulu otak, maka situasi yang dihadapi oleh Tan Sri Khalid Ibrahim, Menteri Besar Selangor akan berlaku. Seperti kata Naib Cancelor UiTM, Prof. Datuk Seri Ibrajim Abu Shah, orang seperti ini cetek pemikiran. [Jadi pemimpin politik tidak semestinya pandai semuanya. Pandai lawyer buruk mungkin...] Contohnya adalah seperti berikut:

Contoh 1:

Tan Sri Khalid mencadangkan UiTM dibuka kepada bukan Melayu. Beliau membuat kenyataan populis dengan harapan untuk mendapatkan sokongan dan undi bukan Melayu (?) dan kemudian menyalahkan kenyataan beliau disalah lapurkan / keluar konteks (?) apabila mula dipersoalkan oleh orang ramai khususnya Melayu/Bumiputra. Bagi C-bOk beliau membuat kenyataan ini hanya kerana berasaskan logik (orang politik....), cuba menjadi popular di kalangan bukan bumiputra, tidak berfikir dan tidak faham sejarah.

Contoh 2:

Apabila ditegur oleh semua pihak, beliau tidak mahu meminta maaf tetapi dalam masa yang sama membuat satu lagi kenyataan yang mencadangkan UiTM meningkatkan taraf dan kemudahannya untuk menjadi sebuah universiti yang disegani (?). Tan Sri ni tak pernah masuk UiTM ke? Apa kemudahan yang tidak cukup? Apakah UiTM tidak di segani? Ini satu lagi kenyataan di mana mulut mendahului otak. Atau ringkasnya kenyataan tanpa berfikir. Ataupun lebih jelas lagi - inilah kenyataan orang politik!!!

Sebagai graduan UiTM, C-bOk rasa kecil hati dan tercabar dengan kenyataan yang memperkecil-kecilkan keupayaan sebuah institusi unggul milik Melayu/Bumiputra. Sepatutnya sebagai orang Melayu Tan Sri Khalid mempertahankan UiTM, sebaliknya dia mengambil jalan populis (dikalangan orang tertentu la...) dengan menghentam institusi milik anak bangsanya sendiri.

Dengan semakin meningkatnya tindak balas daripada rakyat seperti pelajar dan alumni UiTM, maka Tan Sri Khalid mestilah bersedia untuk menerima kesannya. Setidak-tidaknya 2/3 minggu ini mestilah ada tunjuk perasaan dan memorandum yang akan diserahkan kepada beliau dan juga lain-lain pemimpin. Namun kesan yang paling ketara ialah beliau mesti menerima bahawa beliau kini dilihat sebagai pengkhianat Melayu. Jadi Tan Sri boleh lah pilih untuk buat tak tahu (buat derk je!) atau pun minta maaf.

Pesan C-bOk, eloklah jangan politikkan hal-hal yang telah termaktub dalam Perlembagaan dan juga kebajikan anak bangsa sendiri.

Wednesday, August 13, 2008

Tan Sri Khalid Memancing Undi Politik?

Nota: Catatan ini dipetik oleh ruangan "Dari Blog ke Blog" akhbar Sinar Harian, 14 Ogos 2008 (m.s: N8)

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mencadangkan agar UiTM di buka kepada bukan Bumiputra atas alasan untuk menggalakkan persaingan di kalangan pelajar.

Bagi C-bOk Tan Sri Khalid telah memalukan orang Melayu secara tidak langsung dengan mengatakan bahawa orang Melayu hanya akan bersaing apabila adanya orang bukan Melayu, ataupun orang Melayu hanya akan menjadi kuat apabila ada bangsa lain mencabar mereka?

Apa punya pandangan dan prinsip yang dipakai oleh Tan Sri Khalid? Selama ini lulusan UiTM tidak bagus? Tidak gah? Tidak berwibawa? Hanya kerana kami belajar di kalangan orang Melayu - Bumiputra? Sengkek sangat ke kami yang berbangsa Melayu ini. Kami yang sebangsa dengan Tan Sri?

Tolonglah Tan Sri Khalid! Janganlah berpolitik di dalam hal ini. Tindakan Tan Sri mempolitikkan perkara ini akan membawa orang-orang lain yang juga akan mempolitikkan perkara ini juga. Yang "senyap-sunyi" pastinya mereka yang memperjuangkan perkara ini iaitu orang bukan Melayu kerana kini ada "barua" Melayu yang tolong bercakap bagi pihak mereka.

Kalau Tan Sri benar-benar ikhlas dengan apa yang Tan Sri suarakan, Tan Sri kena beritahu kawan-kawan Tan Sri untuk memansuhkan sekolah aliran lain dan kita tumpukan kepada satu aliran kebangsaan sahaja. Selepas itu barulah kita buka semua universiti kepada semua bangsa tanpa sekatan. Kalau tidak...., janganlah politikkan hal ini untuk kesinambungan karier politik Tan Sri sahaja.

C-bOk adalah graduan UiTM 1986-89 Kajian Komunikasi Massa dan membantah apa juga usaha untuk mengubah status quo UiTM.

Sunday, August 10, 2008

Tun Mahathir Nak Berhijrah?

Tun Mahathir di dalam kenyataannya semalam berkata bahawa beliau akan berhijrah dan meninggalkan Malaysia sekiranya Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri Malaysia.

Berdasarkan kepada jangkaan Anwar Ibrahim akan memenangi Pilihanraya Kecil Permatang Pauh pada 26 Ogos ini serta keyakinan beliau untuk menubuhkan Kerajaan PKR pada 16 September 2008, bermakna hanya tinggal kira-kira sebulan sahaja lagi sebelum Tun berhijrah.

Soalnya sekarang ialah apa pilihan yang rakyat ada? Khususnya di Permatang Pauh. Anwar Ibrahim nampaknya sudah hampir pasti memenangi pilihanraya kecil itu. Siapa pun yang diletakkan untuk menjadi calun/wakil Barisan Nasional di Permatang Pauh akan menghadapi laluan yang sukar.

Apa pilihan yang kita di ada? Anwar Ibrahim? Tun Mahathir? ........?

Oh! Majlis Peguam

Semalam kita melihat sesuatu yang kita tidak ingin lihat. "Pertembungan Agama - Antara Islam dan Bukan Islam". Perkara ini berlaku kerana keras kepala Majlis Peguam untuk terus membincangkan isu sensitif berkaitan dengan Islam secara terbuka.

Walaupun Majlis Peguam membatalkan program ini selepas dinasihatkan oleh polis, nyata "nasi sudah menjadi bubur". Majlis Peguam telah menunjukkan belangnya sebagai anti Islam dan juga anti Kerajaan (?). Peguam telah menunjukkan kedegilan serta usaha mereka untuk menafikan segala apa yang telah dipersetujui oleh nenek moyang kita ketika penubuhan sebuah negara berbilang kaum dan agama yang bernama "Malaysia".

Isu yang hendak dibahaskan adalah berbentuk berat sebelah dan dirangka untuk menunjukkan Islam itu tidak bagus. Islam itu tidak baik. Kalau tidak mengapa wakil-wakil yang dipanggil termasuk dari luar negara menggunakan forum ini untuk menunjukkan bahawa Islam telah menjadikan kehidupan mereka porak peranda. Bagi mereka Islam tidak bagus. Kenapa tidak dipanggil mereka yang telah memeluk Islam dan kini berbahagia dengan pilihan mereka? Contohnya isteri Perdana Menteri, Jean Abdullah. Begitu juga dengan bekas Menteri Luar, Datuk Dr. Michael Leo Toyad?

Malangnya Majlis Peguam ini juga turut dianggotai oleh peguam-peguam beragama Islam. Adakah peguam-peguam Islam ini juga bersetuju dengan forum yang dianjurkan itu?

Bagi C-bOk ada dua cara sahaj untuk mengatasi masalah Majlis Peguam yang menjolok sarang tebuan ini:

  1. Kepimpinan Majlis Peguam perlu ditukar kepada peguam beragama Islam atau mana-mana peguam lain yang tidak "memihak" kepada isu-isu sensitif;
  2. Peguam-Peguam yang beragama Islam perlu segera meninggalkan Majlis Peguam dan bersatu di bawah satu persatuan peguam lain yang lebih bertanggungjawab. Mungkin Majlis Peguam Islam?

Apa-apa pun, sebagai rakyat negara ini C-bOk tidak bersetuju langsung dengan ketidakprihatinan Majlis Peguam dengan tindakan mereka. Tindakan mereka menunjukkan bahawa mereka ni tak boleh disentuh langsung. Seolah-olah undang-undang tu di bawah mereka.

Friday, August 08, 2008

Tak Sedar Diri

Tiga perkara yang membuatkan C-bOk sakit hati hari ini:

Pertamanya Majlis Peguam yang berkeras untuk meneruskan Forum Memeluk Islam walaupun di bantah oleh semua tokoh-tokoh besar negara termasuklah yang Hadhari dan yang tak Hadhari. Kenapa sibuk sangat Majlis Peguam hendak menganjurkan forum ini? Walaupun mendapat tentangan dan bantahan daripada semua pihak, mereka masih berkeras untuk meneruskan forum ini bagi membincangkan satu perkara yang amat sensitif.

Keduanya tentang tokoh-tokoh besar yang membuat kenyataan bombastik tentang Forum Memeluk Islam ini. Sebelum ini tokoh-tokoh yang sama pernah membuat kenyataan serupa semasa Majlis Peguam menganjurkan satu seminar berkaitan dengan Ketuanan Melayu. Suara bantahan itu hanya setakat bantahan sahaja. Tiada apa-apa tindakan. Kenapa? Sebab mereka Majlis Peguam? Kalau macai-macai macam C-bOk ni, baru silap tulis sikit dah kena dakwa di bawah Akta Hasutan. Tak percaya? Tengok apa dah jadi dengan "bakaq".

Ketiganya tentang Amerika Syarikat yang memanggil Kuasa Usaha Malaysia di Washington untuk menyuarakan keraguan mereka terhadap kes Anwar Ibrahim. Apa yang mereka sibuk sangat ni? Memanglah ramai yang meragui kes ini. Tetapi tak payahlah AS ni nak campur tangan. Bagus sangat ke AS tu? Kita tak perlulah mereka nak ajar kita. Kalau kita sibuk reformasi negara tergadai pun tak guna.

Bak kata Patrick Teoh - NIAMAH!

Wednesday, August 06, 2008

Majlis Ekonomi

Edisi Yang Dikemaskini:

Setelah berhempas pulas cuba untuk mengatasi masalah ekonomi secara bersendirian dan mengenepikan saranan untuk menubuhkan sebuah badan khas bagi menasihatkan Kerajaan tentang ekonomi, akhirnya Perdana Menteri bersetuju untuk menubuhkan sebuah badan yang dinamakan MAJLIS EKONOMI bagi menangani masalah inflasi dan kelembapan ekonomi negara kesan daripada kelembapan ekonomi global.

Tindakan ini sepatutnya telah lama diambil. C-bOk pernah membangkitkan cadangan untuk mengaktifkan semula MTEN. Begitu juga ramai tokoh-tokoh lain. Namun Kerajaan pada masa itu buat tak tahu sahaja. Malahan membuat keputusan-keputusan ekonomi yang "membimbangkan" serta mengundang polemik seperti menaikkan harga minyak, mengumumkan perbelanjaan berbillion ringgit yang "tidak pasti" dan sebagainya. Keputusan-keputusan berkaitan dengan ekonomi sebelum ini dilihat tidak menggambarkan kefahaman yang mendalam terhadap pergerakan ekonomi dunia serta kepentingan untuk membuat keputusan yang di luar kotak (out of the box) bagi menjamin kesinambungan ekonomi negara supaya lebih tahan dengan serangan kelembapan ekonomi global khususnya selepas kes sub-prima di Amerika Syarikat.

Dalam beberapa keadaan ada pemimpin yang cuba menjadi juara ekonomi dengan mengakui idea perlaksanaan datang daripada mereka tetapi senyap apabila mula dipersoalkan kewajarannya dari sudut ekonomi global. Namun perkara ini sudah dijangkakan kerana di dalam kabinet Malaysia tidak ramai yang mempunyai kemahiran ekonomi (Kecuali Tan Sri Amir Sham, Tan Sri Nor Mohammad dan Datuk Mustapha Mohammad). Rata-rata menganggotai kabinet kerana hiraki mereka di dalam kepimpinan parti masing-masing.

Perkara yang sudah berlaku tidak mungkin diubah. C-bOk berharap, Majlis Ekonomi yang ditubuhkan ini akan memainkan peranan penting untuk menganalisakan perkembangan ekonomi semasa dan menyediakan dasar dan strategi yang sesuai untuk negara mengatasi sebarang masalah ekonomi yang timbul.

Harapan C-bOk, sekiranya tidak lebih baik daripada MTEN, sekurang-kurangnya Majlis Ekonomi ini mampu berperanan sebaik MTEN dengan keanggotaan yang mencakupi keseluruhan struktur ekonomi negara.

Selamat bertugas kepada ahli Majlis Ekonomi. Jauhkan sebarang pertembungan politik di dalam membuat apa juga keputusan demi kelangsungan ekonomi negara.

Saturday, August 02, 2008

Kadar Baru Minyak: Mainan Politik?

Edisi Yang Di Kemaskini:

C-bOk pusing-pusing tengok blog rakan-rakan tentang pengumuman Perdana Menteri untuk mengurangkan harga minyak semalam. Namun tak ada yang berminat untuk membuat ulasan. Mungkin sebab hujung minggu, mungkin juga ramai yang terkejut dengan pengumuman tersebut sampai tak tahu nak buat ulasan? Mungkin juga ramai yang tidak percaya (Bukan salah mereka)

Perdana Menteri mengumumkan bahawa kadar minyak akan dikira mengikut harga purata minyak dalam bulan berkenaan dan akan diumumkan pada setiap 1hb. setiap bulan. Walaubagaimanapun, kadar yang diumumkan tidak akan melebihi RM2.70 dan subsidi 30 sen seliter akan dikekalkan sehingga hujung tahun ini. Perkiraan ini tidak akan melibatkan diesel (Damn! C-bOk adalah pengguna Diesel. Adakah diesel bukan minyak Pak Lah?)

C-bOk melihat perkembangan terbaru ini seperti berikut:

Pertamanya: Ini adalah pengumuman untuk meraih populariti. Dalam keadaan rakyat tengah marah dengan kenaikan harga minyak yang menyebabkan harga barangan dan perkhidmatan turut naik sama, langkah untuk mengurangkan kemarahan rakyat perlu dilaksanakan dengan segera. Walaupun, kita tidak tahu (dan Kerajaan tidak boleh menjamin) samada harga minyak dunia akan turun dalam bulan Ogos ini, Kerajaan telah membuat pengumuman untuk menurunkan harga minyak.

Pengumuman sepatutnya ialah "mengkaji" bukan "menurunkan". Ingat tak semasa pengumuman kenaikan harga minyak dalan bulan Jun dahulu apabila Menteri mengatakan ianya akan dinaikkan pada bulan Ogos, Perdana menteri menaikkan harga minyak 3 hari kemudian? Menjadikan PM semakin sinonim dengan imej flip-flopnya. Elok juga kalau dalam sehari dua ni PM tiba-tiba flip-flop lagi - turunkan harga minyak. Tak payah tunggu 1 September;

Keduanya: Strategi awal untuk berdepan dengan pilihanraya kecil di Permatang Pauh. Anwar Ibrahim akan menggunakan strategi ekonominya untuk mengurangkan harga minyak. Kerajaan terpaksa mengurangkan harga minyak supaya "tidak kalah" semasa kempen nanti;

Ketiganya: Pengumuman ini menunjukkan kenaikan sebelum ini adalah tindakan tergesa-gesa. Sekiranya kita mengikut pengumuman yang dibuat oleh Datuk Shahrir Samat di mana harga minyak hanya akan dinaikan (dikaji) pada bulan Ogos 2008, kemungkinannya kita tidak perlu menaikkan harga minyak langsung. Ini kerana sudah ada tanda-tanda harga minyak akan menurun dan dijangka lebih murah selepas sukan olimpik di Beijing kelak. Langkah tidak menaikkan harga minyak pasti akan mengurangkan segala masalah yang sedang kita hadapi sekarang ini seperti tunjuk perasaan sana sini, kenaikan harga barangan, kenaikan harga perkhidmatan, sumpah seranah dan sebagainya. Kita juga tidak perlu melihat debat air liur di TV baru-baru ini;

Keempatnya: Jelaslah harga minyak boleh dikawal. Ada langkah-langkah yang boleh diambil untuk mengawal mekanisma kenaikan harga minyak. Namun kita tidak melihat cadangan kenaikan tersebut dari segala sudut yang mungkin. Soalnya samada kita hendak mengambil jalan mudah atau jalan sukar.

Walaubagaimanapun, cadangan untuk mengumumkan harga minyak mengikut harga pasaran setiap sebulan sekali bukanlah satu cadangan yang baik. Pengusaha stesen minyak yang membayar harga tinggi untuk mendapatkan stok baru pada 30hb., tiba-tiba perlu menjual minyak pada harga yang rendah keesokkan harinya. Ini akan menyebabkan kerugian kepada mereka. Mereka juga berniaga. Perkara ini sudah pun di bangkitkan oleh Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Malaysia (PDAM). Sudahkan faktor ini diambil kira?

Bagaimana pula dengan cadangan untuk menaikkan tambang bas yang dikira mengikut kenaikan harga minyak baru-baru ini. Sekiranya kenaikan diluluskan, tiba-tiba harga minyak turun. Bagaimana? Begitu juga dengan harga barangan dan perkhidmatan lain. yang sudah naik - bagaimana hendak kita turunkan?

Ringkasnya, walaupun rakyat mungkin mengharapkan harga minyak diturunkan setiap bulan, namun mekanisma perlaksanaannya akan menghuru harakan sistem ekonomi kita. Ketidak tentuan harga minyak di pasaran akan memberi kesan yang lebih teruk kepada harga barangan dan perkhidmatan.

Cadangan baru ini mungkin dibincangkan oleh kabinet. Namun C-bOk berpendapat kabinet kini dipenuhi oleh ahli politik sahaja dan bukannya pakar di dalam bidang ekonomi. Kalau ada pun hanya beberapa orang yang masih baru di dalam kabinet seperti Tan Sri Nor (MK 2) dan Tan Sri Amir Sham (EPU). Manakala yang lain adalah mereka yang naik melalui hiraki politik. Mereka mungkin bijak berpolitik, namun belum tentu mahir di dalam ekonomi.

Dalam keadaan ekonomi dunia tidak menentu sekarang yang memberi impak kepada ekonomi negara, C-bOk berpendapat kita tidak memerlukan ahli politik. Sebaliknya kita memerlukan pakar ekonomi. Sekiranya ahli politik masih bertegas untuk mengekalkan kuasa mereka, maka satu badan seperti MTEN perlu diwujudkan semula supaya boleh memberi nasihat kepada kabinet tentang hal ehwal ekonomi supaya keputusan-keputusan penting seperti naik turun harga minyak boleh dianalisa oleh mereka sebelum sebarang pengumuman dibuat.

Ringkasnya naik turun harga minyak bukanlah sesuatu yang boleh dibuat keputusan secara sesuka hati dan bukanlah sesuatu yang bersifat jangka pendek. Negara kita akan musnah sekiranya ekonomi dijadikan mainan untuk meraih sokongan politik tanpa mengambil kira kesan jangka panjang kepada ekonomi negara. Satu-satu harga yang diumumkan memberi kesan kepada kehidupan kita dan pastinya bukanlah bersifat jangka pendek. Menetapkan harga dan menukarkan harga setiap bulan pada C-bOk bukanlah satu keputusan yang bijak.

Friday, August 01, 2008

Cara Bersalam "BONAMA"

Isteri C-bOk baru je forward email berkaitan dengan cara-cara bersalam baru yang telah diluluskan oleh Jawatankuasa Kabinet Mengenai Istiadat (ada ke jawatankuasa ni? He he..).

Jawatan Kuasa Kabinet mengenai Istiadat telah mengeluarkan Surat Pekeliling mengenai adab dan cara bersalam yang betul mengikut norma ke Malaysianan.

The Cabinet Committee overseeing ceremonial affairs has set out the following guidelines for the correct way of greeting or paying homage the Malaysian way. Sila fahami ..... For your understanding (and perhaps compliance?) Cara bersalam yang betul. The correct way to pay homage/greet

1. Badan perlu dibengkokkan 90 darjah. (bow at 90 degrees)

2. Yang menyalam perlu memegang kedua belah tangan orang yang disalam. (clutch hand of the person you are greeting with both hands)

3. Sengetkan kepala ke kanan sedikit untuk mendapat feel yang lebih. (tilt head to slightly the right for maximum "feel")

4. Mulut cium tangan perlu dimuncung lebih kurang 1 inci. (purse lips to kiss approx 1 inch)

CARA INI DI NAMAKAN ' BONAMA' iaitu BODEK NAK MAMPUS !!! translated as ingratiate (bodek) to (nak) death (mampus)

Me and My Dream Bike

Ini superbike Honda ST 1300. Bayangkan C-bOk yang sedang menunggang dengan full face helmet tu.

Di Malaysia, motor ini digunakan oleh polis trafik kita. Dengan kekuatan enjin 1300 cc, motor ini adalah antara motor yang berkuasa tinggi dan dalam masa yang sama mengekalkan imej segak mereka yang menunggangnya dengan rekabentuk yang menarik serta komposisi penunggang yang duduk tegak semasa memandu.

Harganya: RM86K ++. Sesak nafas.

Insyaallah kalau ada rezeki...

Wednesday, July 30, 2008

Mana Pakej Rangsangan Ekonomi?

Rata-rata semua rakyat kini sedar tentang keadaan ekonomi dunia yang semakin tenat. Saban hari kita di ingatkan tentang kenaikan harga minyak yang tinggi, peningkatan di dalam kos pengeluaran, kadar upah yang tidak sejajar dengan kenaikan harga barangan, penutupan operasi syarikat, kes sub-prima di US yang turut sama memberi kesan kepada ekonomi dunia dan sebagainya lagi.

Malahan, ramai pakar ekonomi yang menyatakan bahawa ekonomi US sudah lama malap dan turut sama membawa ekonomi dunia merudum kerana kebergantungan yang keterlaluan terhadap US Dollar dan juga pergerakan FDI dari negara berkenaan. Negara berkenaan sebenarnya telah muflis, namun masih terus bertahan atas faktor keluasan negara berkenaan dan juga bilangan penduduk yang tinggi serta lambakan Dollar seluruh dunia yang masih menyokong pergerakan ekonomi walaupun pada kadar yang amat sedikit dan perlahan.

Sehubungan dengan ini, pakar ekonomi telah lama meramalkan ekonomi dunia akan merudum selaras dengan kejatuhan ekonomi Amerika Syarikat. Tanda-tanda ke arah itu telah pun timbul seperti kejatuhan harga saham di pasaran-pasaran saham dunia akibat tidak adanya sokongan belian daripada pelabur-pelabur besar Amerika Syarikat dan sekutu baratnya yang dulunya merajai bursa-bursa saham dunia. Kadar inflasi juga meningkat dengan tinggi di setiap negara khususnya negara-negara membangun lanjutan daripada peningkatan kos operasi dan kadar permintaan yang menurun.

Ini tidak dapat tidak akan memberi kesan kepada ekonomi negara kita. Pakar-pakar meramalkan kemelesetan ekonomi negara (dan juga dunia) akan menjadi semakin teruk menjelang tahun 2009. Ketika itu, kita tidak lagi boleh mengharapkan negara-negara luar khususnya rakan dagangan tradisi kita untuk menyokong perkembangan ekonomi domestik. Mereka juga akan sibuk dengan usaha untuk memulihkan ekonomi negara masing-masing daripada kemelesetan teruk yang melanda eonomi dunia.

Kita bukanlah tidak pernah mengalami masalah ini sebelum ini. Tahun 1997 ketika matawang negara dan juga negara-negara jiran di serang oleh penyangak matawang sehingga memberi kesan kepada ekonomi negara, kita telah berjaya mengatasinya dalam masa yang singkat melalui program "Pakej Rangsangan Ekonomi" yang menyuntik pelbagai aktiviti bagi merancakkan aktiviti ekonomi serta memastikan kecairan ringgit di pasaran. Kerajaan melalui Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) ketika itu mengkaji kesesuaian aktiviti ekonomi dari segala sudut dan mewujudkan pelbagai program pembangunan di peringkat Daerah, Negeri dan Pusat.

Berbeza dengan teori barat yang memberhentikan segala aktiviti ekonomi di dalam suasana kemelesetan, Malaysia (ketika itu) merancakkan lagi aktiviti pembangunan seperti pembinaan infrastruktur baru, bangunan baru, sekolah baru dan sebagainya. Program ini yang dinamakan program Pakej Rangsangan Ekonomi berjaya mewujudkan peluang pekerjaan baru serta memastikan kecairan ringgit di pasaran yang menggembirakan semua. Hasilnya, Malaysia menjadi salah sebuah negara yang berjaya melalui suasanan kemelesan ekonomi dunia tahun 1997 - 1999 dengan jayanya.

Namun sebaliknya sekarang ini, kita masih belum melihat satu perancangan yang jelas untuk berhadapan dengan kemelesetan ekonomi dunia yang sedang melanda kita. Kepimpinan negara hanya sekadar ber retorik tentang suasana yang sedang kita hadapi sekarang ini dengan mengingatkan kita untuk "mengubah cara hidup". Sejauh mana kita boleh berubah bergantung kepada keupayaan masing-masing untuk merancang semula aktiviti ekonomi individu.

Apa yang perlu dalam keadaan sekarang ini bukan mengubah cara hidup kita. Kita perlu segera merancang untuk memastikan ekonomi negara terus aktif dalam suasana kemelesetan. Ini memerlukan pengumuman polisi serta aktiviti untuk menggerakkan ekonomi yang diterajui oleh Kerajaan pusat. C-bOk berpendapat kita perlu memperkenalkan semula Pakej Rangsangan Ekonomi yang mampu mewujudkan kerja-kerja pembangunan baru yang boleh membawa kecairan ringgit di pasaran. Ianya perlu diterajui oleh orang yang arif tentangnya seperti Tun Dr. Mahathir Mohammad (mantan Perdana Menteri) dan juga Tun Daim Zainuddin (mantan Menteri Kewangan)

Malangnya, C-bOk rasa belum ada yang sedar terhadap keperluan untuk Pakej Rangsangan Ekonomi ini. Kita lebih banyak berpolitik daripada berfikir. C-bOk harap kepimpinan kita segara bertindak sebelum terlewat.

Layan Diri di Stesen Minyak

Konsep layan diri di semua stesen minyak telah diperkenalkan di Lembah kelang sejak tahun 1997 dahulu. Langkah ini diperkenalkan untuk mengatasi masalah kehadiran tenaga kerja dari luar yang semakin meningkat dan menimbulkan pelbagai masalah sosial.

Namun di sebalik penguatkuasaan peraturan ini, kita melihat masih ramai pekerja-pekerja asing yang mendominasi ruang kerja dan kounter bayaran di stesen-stesen minyak di seluruh negara khususnya di Lembah Kelang. Apabila stesen-stesen baru di buka, pasti warga Bangladesh dan Myanmar akan menjadi cashier dan pump attendant. Masalahnya mereka ini cuma tahu beberapa patah perkataan sahaja seperti "penuh", "diesel", "petrol" dan "cuci cermin". C-bOk pernah bercakap macam ayam dan itek apabila pekerja baru dari Bangladesh yang tak tahu maksud "penuh".

Di sebalik peraturan sedia ada berkenaan dengan larangan menggunakan tenaga kerja luar untuk perkhidmatan di stesen-stesen minyak, kita melihat sebaliknya. Mengapa perkara ini berlaku adalah jelas: Tidak ada penguatkuasaan ke atas peraturan yang telah ditetapkan!

Kini, Persatuan Pengedar Minyak Malaysia (PDAM) akan melaksanakan sendiri larangan penggunaan tenaga kerja asing di stesen-stesen minyak mereka berkuatkuasa hari Jumaat ini 1 Ogos 2008 kerana menyedari pergantungan berterusan terhadap tenaga kerja asing meningkatkan kos operasi mereka. Bulan Ogos adalah bulan kemerdekaan. Adakah kita akan melihat stesen minyak kita bebas daripada kebergantungan yang ketara terhadap tenaga kerja asing? Dan adakah kita akan melihat penguatkuasaan yang lebih tegas terhadap peraturan ini oleh pihak berkuasa?

Friday, July 25, 2008

Pertemuan Dua A (Abdullah & Ahmad)


Abdullah Badawi dan Ahmad Said bertemu. Dua-dua tersenyum manja.

Monday, July 21, 2008

Ke Bangladesh

C-bOk menulis dari Regional Lounge KLIA. Sedang duduk-duduk dengan Chef Ismail (Towkey Restoran Rebung / Celebrity Chef). Kami akan ke Dhaka, Bangladesh untuk menyertai program Halal Malaysia Week di Sheraton Dhaka.

Program akan bermula pada 23 - 27 Julai 2008. Sebanyak 70 buah syarikat Malaysia akan menyertai program ini. Insyaallah, C-bOk akan menulis dari Dhaka sekiranya ada perkara-perkara yang menarik.

Sunday, July 20, 2008

DNA

Masa di sekolah dahulu, C-bOk diajar bahawa DNA adalah umpama cap jari manusia. Setiap individu mempunyai DNAnya yang unik dan tersendiri. Malahan kita boleh mendapat pelbagai maklumat hanya dengan mengkaji DNA setiap individu.

Kini kajian terhadap objek pra-sejarah juga menggunakan teknologi DNA. Antaranya kajian DNA mummy di Mesir berjaya mengaitkan pelbagai maklumat terhadap tokoh-tokoh Firaun zaman dahulu kala. Berdasarkan kepada kajian sains, DNA seseorang bukan sahaja unik, ianya juga umpama kad pengenalan setiap individu dan akan kekal selama-lamanya.

Jadi C-bOk agak hairan dengan kes Anwar Ibrahim ni. 10 tahun dahulu, DNA dia sudah diambil. Pihak berkuasa pasti sudah mempunyai rekod. Kenapa sekarang ni sibuk nak ambil DNA dia sekali lagi? Sampaikan semua orang bercakap pasal DNA Anwar Ibrahim. Terkini, PM pun sudah bercakap pasal DNA ini dan menggesa Anwar untuk memberikan DNA beliau.

Apa sudah jadi dengan DNA Anwar yang dahulu? Kenapa perlu buang masa dan main politik bercakap tentang DNA yang sudah ada dalam simpanan pihak berkuasa?

E200 MBZ Untuk Exco Trengganu

Kerajaan negeri Trengganu membelanjakan kira-kira RM3.43 juta untuk membeli 14 buah Mercedes E200 yang baru untuk kegunaan rasmi ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) bagi menggantikan Proton Perdana V6 Executive.

Apa pun alasan yang diberikan dan walau bagaimana banyak sekali pun duit yang Trengganu ada, ini bukanlah satu keputusan yang bijak. Ini bukanlah masanya untuk bergaya dengan kereta baru import ketika rakyat sedang berhadapan dengan harga minyak yang meningkat dan kadar inflasi yang semakin tinggi.

Ketika rakyat disarankan untuk menukar gaya hidup, pemimpin membuat keputusan untuk menukar kereta? Menteri Besar yang berjaya "melawan" Perdana Menteri selepas PRU ke 12 dahulu dengan menerima perlantikan untuk menjadi MB walaupun PM telah melantik orang lain, kini sekali lagi menunjukkan kekuatan dengan melanggar polisi Kerajaan Pusat untuk mengutamakan barangan buatan tempatan. Penggunaan kereta jenama tempatan sebagai kereta rasmi Kerajaan telah diterima pakai oleh Kerajaan pusat dan diiikuti oleh semua Kerajaan negeri termasuklah Trengganu sebelum ini.

Langkah Kerajaan Negeri Trengganu ini, walaupun dengan apa alasan sekali pun jelas tidak meletakkan kepentingan rakyat di dalam membuat keputusan. Ianya samalah seperti keputusan Kerajaan negeri Selangor sebelum ini yang membina banglow mewah untuk Exco Kerajaan negeri walaupun menerima tentangan sehingga Kerajaan negeri berkenaan di jatuhkan di dalam PRU ke 12 dahulu.

Apa tindakan Perdana Menteri di dalam hal ini?

Monday, July 14, 2008

Sesak di KL. Sebab Anwar Ibrahim?

Beberapa hari lepas kita sesak di jalan raya. Bermula pada hari Sabtu dan mencapai klimaksnya pada hari Isnin apabila semua jalan yang mengarah ke Kuala Lumpur sesak teruk.

Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis KL mengakui kesesakan ini dan meminta maaf kepada semua pengguna jalanraya kerana kesesakan yang tidak dapat dielakkan ini.

Semua ini berlaku kerana Anwar Ibrahim (?). Berdasarkan kepada maklumat risikan pihak polis terdapat cadangan untuk mengadakan perhimpunan haram secara besar-besaran di Parlimen pada hari Isnin. Pihak polis pasti memetik sumber-sumber risikan yang sahih ketika membuat keputusan untuk membuat sekatan jalanraya di seluruh Lembah Kelang. Betul atau tidak tidak dapat dipastikan sebab itu adalah sumber polis. Kita tak boleh nak verify (Akta Rahsia Rasmi)

Namun apa yang C-bOk kurang senang ialah kesusahan yang terpaksa dihadapi oleh rakyat hanya kerana:
  1. Anwar Ibrahim bercadang nak membuat perhimpunan. Betul atau tidak itu belakang kira. Namun apabila ada kaitan dengan Anwar Ibrahim sahaja seluruh jentera digerakkan sehingga macam nak perang. Kalau Anwar Ibrahim buka mulut tiap-tiap hari cakap nak buat perhimpunan adakah kita akan berhadapan dengan sekatan jalan raya setiap hari juga? Penat la kita macam ni. C-bOk rasa macam ada orang yang "over-react" dalam hal ini. Tak boleh Anwar Ibrahim buka mulut sikit....
  2. Yang si Anwar Ibrahim ni pun satu hal. Kalau sudah bersedia nak tubuhkan Kerajaan dan betul mempunyai sokongan daripada mana-mana pihak, apa tunggu lagi? Kenapa perlu membuat perhimpunan dan menyusahkan rakyat? Ingat semua rakyat suka ke? C-bOk tak suka dengan cara berhimpun, cara asak mengasak, cara acah mengacah, cara saman menyaman. Kalau dah ready, umum sahajalah penubuhan Kerajaan. Janganlah mengheret dan menyusahkan rakyat;
  3. Polis pulak kenapa la buat sekatan di lebuhraya yang sesak seperti Lebuhraya Persekutuan? Kenapa la buat sekatan di waktu puncak (waktu orang nak pergi kerja)? Kenapa la buat sekatan jalan 15 lorong jadi selorong? Tak ada cara lain ke? Atau ada motif lain? Tak kesian ke dengan konstabel tu yang kena berhujan berpanas siang malam sebab mengikut arahan?

Bagi C-bOk, semua aktor di dalam hal ini berlakun sahaja lebih. Baik Anwar Ibrahim mahupun pihak berkepentingan di dalam Kerajaan. Mereka cuba menggunakan rakyat untuk mengalihkan apa juga isu yang sedang mereka sendiri hadapi.

C-bOk sudah bosan. Rakyat lagi la bosan. Politik brutal tahap gaban. All of you should go to %&##.

Sunday, July 13, 2008

Pemimpin (Bawahan) UMNO Cuma Ikut Sahaja?

C-bOk adalah ahli UMNO. Tetapi C-bOk cumalah seorang ahli biasa sahaja. C-bOk tidak aktif kerana dahulu bekerja dengan Kerajaan dan ada arahan yang tidak membolehkan C-bOk aktif di dalam politik.

Kini C-bOk tidak lagi terikat dengan General Order (G.O) Kerajaan, tetapi masih lagi tidak aktif kerana sibuk dengan pelbagai tugas harian. Dalam masa yang sama, C-bOk tidak pernah mendapat jemputan untuk menghadiri mesyuarat-mesyuarat yang diadakan walaupun membayar yuran keahlian setiap tahun.

Mungkin kerana C-bOk di KL sedangkan mesyuarat di kampong diadakan pada masa C-bOk mungkin sibuk dengan pelbagai kegiatan harian. Mungkin juga kepimpinan parti di kampong tidak mahu orang profesional turut sama di dalam menggerakkan aktiviti kerana orang profesonal seperti C-bOk ni banyak cakap. Mungkin ada yang rasa tergugat.

Sebagai ahli UMNO biasa, C-bOk juga prihatin dengan perkembangan di dalam parti yang selama 50 tahun menjadi tulang belakang politik negara dan meneruskan kesinambungan ketuanan Melayu di negara ini. Atas sebab prihatin, C-bOk banyak memberikan pandangan di dalam blog ini dan juga di dalam blog rakan-rakan blogger yang lain. Pandangan C-bOk mungkin berbentuk kritikan, tetapi matlamatnya untuk memberikan pandangan yang C-bOk rasa perlu diambil tahu oleh kepimpinan politik khususnya kepimpinan UMNO.

Lantaran dari ini juga C-bOk terpanggil untuk memberikan pandangan terhadap sikap ahli-ahli UMNO di dalam menentukan kepimpinan parti dan hala tuju parti. Pada pandangan C-bOk sebahagian besar daripada kepimpinan parti seolah-olah sudah lelah dan tidak mempunyai pemikiran yang tersendiri. Apa yang dikatakan oleh pucuk pimpinan itulah yang akan diulang-ulang sedangkan parti sudah nazak dan asakan semakin hebat. Walaupun sebahagian daripada kepimpinan ini mempunyai pandangan-pandangan tersendiri yang C-bOk rasa mampu untuk menyelamatkan parti serta kepimpinan Melayu di negara ini, tetapi apabila sampai kepada masa untuk mereka membuat kenyataan rasmi - mereka akan membuat kenyataan yang membelakangkan prinsip mereka sendiri. Seolah-olah dua alam.

Apabila sudah acap kali perkara ini berlaku, C-bOk sedar bahawa sebahagian besar daripada mereka meletakkan kepentingan diri melebihi kesinambungan kepimpinan Melayu di negara ini. Masing-masing hendak melepaskan diri sendiri. Masing-masing kini mempunyai kuasa dan pangkat yang diberikan oleh kepimpinan yang lemah itu untuk mengekalkan kuasa.

Kebetulan pula C-bOk terjumpa dengan lukisan kartun seperti di atas ini. Apabila C-bOk meneliti lakaran kartun ini, jelaslah itulah yang berlaku sekarang. Budaya cium tangan dan cium buntut. Budaya yang sanggup mengenepikan prinsip semata-mata hendak mengekalkan apa yang mereka perolehi dan akan perolehi secara peribadi dengan mengekalkan kepimpinan sedia ada di dalam hiraki kepimpinan politik baik di peringkat pusat, bahagian mahu pun cawangan. Malahan di peringkat blok rumah pangsa sekali pun.

Budaya ini jika berterusan akan menghancurkan satu-satu bangsa.